♦ Majlis Tilawah Al-Quran
Sunday, March 25, 2012 | 2:17 PM | 0 comments
assalamulaikum!kelmarin! ada join satu pertandingan syarahan! and inilah teks saye! thanks rajamuda1991!
Bimillah….
Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju utama majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana semestinya bertunjangkan panji-panji kebenaran, penjaga masa yang cakna dengan randiknya, barisan pendidik yang bermisi, seterusnya warga intelektual penerus wawasan Negara semestinya dekat di hati.
Assalamualaikum dan salam pertemuan.
“penghayatan hari pembalasan menjana insan kamil” begitulah indahnya mauduk syarahan yang bakal menitip di bibir saya. Namun, tak kenal maka tidak cinta. Sebelum ledakan hujah menghujani seisi dewan, mohon izin untuk melakukan pendefinisian bagi tajuk syarahan saya pada hari ini. Meneliti tiga kalimah pertama iaitu “penghayatan hari pembalasan” didefinisikan sebagai perihal untuk merasai dan mempercayai hari akhirat seterusnya mendorong untuk melakukan juzuk-juzuk yang berkaitan dengannya. Manakala berganjak pula kita kepada 3 frasa terakhir iaitu “menjana insan kamil” bermaksud mengadakan, menghasilkan atau menjadikan manusia yang berakal ke arah yang sempurna dan lengkap. Oleh yang demikian dapatlah dikonseptualkan tajuk syarahan kita pada hari ini dengan membawa maksud penerimaan, kepercayaan, dan penghayatan hari pembalasan iaitu hari akhirat dengan mantap mampu untuk menjana manusia atau insan yang sempurna sama ada dari aspek rohani atau jasmani, intelektual atau daya saing dan sebagainya.
Hadirin hadirat ummat Muhammad.
Melangkah kepada hujah yang pertama, di bawah frasa “penghayatan hari pembalasan, menjana budaya ilmu yang gemilang”. Jika kita berbicara siapakah yang layak untuk menerajui pembudayaan ilmu yang gemilang, sudah semestinya diperanankan oleh golongan remaja dan belia. Mereka merupakan asset yang utama dalam membawa kecemerlangan sesebuah empayar. Namun tetapi, penerapan ilmu yang tidak disulami oleh kemantapan agama pastinya bagaikan “mencurah air di daun keladi”. Hanya dengan ilmu berlandaskan keimanan yang mantap, mampu menghasilkan insan yang sempurna tingkah lakunya, baik akhlaknya serta sopan percakapannya. Hanya Ilmu yang berlandaskan keimanan yang tinggi sahaja akan menjadikan penerokaan dan pembugaran budaya keintelaktualan yang tiada batasannya. Manusia dapat meneroka segenap pelosok ilmu hasil dari kepercayaan dan keimanan kepada Allah. Sabda rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh imam bukhari
طلب العلم فريضة على كل مسلم ومسلمة
Maksudnya: menuntut ilmu itu wajib keatas setiap umat islam lelaki dan perempuan.
Hanya manusia yang beriman dengan hari pembalasan sahaja akan menyedari bahawa pentingnya pembugaran ilmu secara menyeluruh seterusnya akan menjana budaya ilmu yang gemiliang. Sebagai contoh, siapa sahaja yang tidak mengenali tokoh ternama islam iaitu Ibn Sina yang berjaya menghuraikan ilmu-ilmu berkaitan perubatan dan falsafah. Hasil keimanan beliau terhadap Hari pembalasan telah menggerakkan beliau untuk terus maju ke hadapan . selain itu, kepakaran Nik Nur Madihah yang memperolehi 20A dalam SPM 2008 telah menjadi bukti bahawa keimanan yang mantap kepada Hari pembalasan menjadikannya sebagai seorang yang berwawasan untuk mengubah kemiskinan keluarganya. Tuntasnya, keimanan yang kuat terhadap hari pembalasan akan mewujudkan satu sifat menyedari bahawa perlunya berusaha untuk mendalami budaya ilmu bagi menjamin bekalan untuk hari pembalasan tersebut.
Sidang saksi bermisi, pencinta budaya ilmu.
Menyusur kepada hujah yang kedua, “penghayatan hari pembalasan membentuk akhlak yang mantap”. Akhlak merupakan satu tingkah laku atau perbuatan yang dilihat baik sama ada kepada manusia atau Allah. Namun tetapi, musuh-musuh islam telah mempersoalkan apakah landasan akhlak yang sebenar. Kerana perbuatan mereka pada hari ini atau dikenali sebagai budaya kuning dilihat sebagai satu budaya dan akhlak yang baik. Oleh dasar itulah perlunya keimanan dan penghayatan yang tinggi terhadap hari pembalasan kelak. Islam telah menggariskan adab-adab yang baik untuk dijadikan panduan seterusnya menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan anti islam. Jika kita lihat, Nabi junjungan besar kita Muhammad s.a.w merupakan orang yang pertama di hari pembalasan kelak yang akan diberikan pakaian untuk digunakan. Hal ini kerana Baginta merupakan sebaik-baik contoh di muka bumi ini. Sepertimana hadis nabi yang bermaksud.
Diutuskan Aku iaitu Nabi Muhammad adalah untuk menyempurnakan akhlak.
Dengan peristiwa semasa hari pembalasan itulah akan menjadikan sesiapa yang beriman dengannya akan berusaha untuk menghiasi akhlak mereka dengan sebaiknya dan Nabi Muhammad s.a.w jualah sebagai contoh utama dalam penyempurnaan tersebut. Firman Allah dalam surah al-Qalam ayat 4:
Maksudnya: Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia.
Remaja kini yang tidak mempunyai memantapan iman akan menjadikan artis-artis sebagai idola mereka. Ini sudah tentu tidak akan membantu melahirkan insan yang berwawasan. oleh demikian Allah telah jelaskan di dalam ayat di atas tentang siapakah yang benar-benar sempurna untuk diikuti. Nyatalah dikatakan bahawa, peningkatan iman terhadap hari pembalasan itu akan mencorakkan akhlak yang terpuji seterusnya akan menjana insan yang mantap.
Sidang dewan pengiman hari pembalasan.
Beralih pula kepada hujah saya yang ketiga, “penghayatan hari pembalasan, membentuk kesempurnaan ibadah” insan yang berwawasan cemerlang adalah insan yang prihatin terhadap kesempurnaan ibadahnya baik yang fardu mahupun sunat kerana inilah asas manusia diciptakan oleh Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t yang berbunyi:
وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون
Maksudnya: dan tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat untukku
Setiap manusia yang mengimani dengan hari pembalasan serta perhitungan akan bermuhasabah sejauh mana amalan serta kesempurnaan ibadat yang mereka lakukan. Janji-janji Allah tentang kenikmatan syurga akan lebih mendorong untuk seseorang mukmin lebih bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah kepada Allah. Asasnya hanyalah kepercayaan dan keimanan kepada hari pembalasan tersebut seterusnya membawa kesan kepada penyempurnaan ibadah yang dilakukan. Sebagai contoh, Rasulullah sendiri yang sudah terjamin tempatnya di dalam syurga masih melakukan amal ibadat dengan bersungguh-sungguh sehingga bengkak karinya kerana ingin menuju penyempurnaan ibadat tersebut. Selain itu, Gabungan akhidah dan ibadah yang hebat inilah juga akan menjayakan misi kerajaan Pimpinan Datuk Sri Mohd Najib b Abd Razak kearah pembangunan modal insan cemerlang dalam gagasan 1 Malaysia. Sekali lagi, jelaslah kepada kita bahawa, penghayatan hari pembalasan akan mewujudkan satu semangat kearah untuk menyempurnaan dan membaiki ibadah yang dilakukan untuk menuju Hakiki yang dijanjikan oleh Allah .s.w.t.
Hadirin hadirat penjana transformasi Negara.
Hujah keempat hujah penamat. Sari kata berbunyi “penghayatan hari pembalasan melahirkan budaya kerja cemerlang”. Manusia yang berfikir masa silamnya, akan memperbaiki kesilapannya. Manakala manusia yang merenung masa depannya, akan sentiasa mempersiapkan belakan di dunia. Penghayatan kepada hari pembalasan akan menjadikan segala kerja dan tingkah laku manusia sentiada berada di jalan yang benar. Keimanan yang tinggi terhadap hari pembalasan akan menjadikan seseorang insan itu menjauhi budaya rasuah, ketidakadilan dalam bertindak, lemah dah tidak proaktif. Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa ayat 36 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah memerintahkan setiap kamu menunaikan amanah kepada ahlinya.”
Sebagai contoh, dalam dasar kepimpinan Negara ada menyebutkan bahawa penerapan budaya kerja cemerlang telahpun dirangkan dan dilaksanakan di dalam setiap kakitangan kerajaan. Tuntasnya, insan yang ingin menjadikan hari pembalasan sebagai satu kebaikan akan berusaha untuk memperbaiki budaya kerja yang mulia ketika di dunia ini.
Hadirin sekalian.
Secara konklusinya, sudah terang lagi bersuluh, atas hujah-hujah yang saya lontarkan tadi, dapatlah disimpulkan bahawa penghayatan terhadap hari pembalasa mampu untuk menjaya empat perkara iaitu budaya ilmu gemilang, akhlak yang mamtap, menuju kesempurnaan ibadat serta mewujudkan budaya kerja yang cemerlang. Justeru, marilah kita sama-sama menghayati hari pembalasan untuk menuju kearah kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Sekian.. wbrktuh….